← Back to Rencana

Ziyad Zolkefli raih emas lontar peluru F20 di APG 2025

Ziyad Zolkefli (tengah) bersama pemenang pingat di podium selepas memenangi acara lontar peluru lelaki F20 pada temasya Sukan Para ASEAN di Nakhon Ratchasima. – Foto Majlis Sukan Negara

NAKHON RATCHASIMA – Atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila meraih pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di sini, malam tadi.

Ziyad mencatatkan lontaran sejauh 16.81 meter untuk meninggalkan pencabar lain dengan kelebihan selesa, sekali gus mengekalkan penguasaannya dalam acara berkenaan di pentas Asia Tenggara.

Bagaimanapun, lontaran itu belum cukup untuk memadam rekod temasya APG miliknya sendiri sejauh 16.92 meter yang dilakar di Solo, Indonesia pada 2022.

Rekod Asia milik Ziyad sejauh 17.43 meter yang dicatatkan di Jepun pada 2024 juga kekal utuh, namun pencapaian terbaharu itu sudah memadai untuk menghadiahkan emas kepada kontinjen negara.

Kejayaan Malaysia dalam acara berkenaan turut diperkukuhkan apabila seorang lagi atlet negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi meraih pingat perak hasil lontaran sejauh 13.80 meter.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet tuan rumah, Boonkong Sanepoot yang mencatatkan jarak 13.68 meter.

Keputusan itu sekali gus mengukuhkan reputasi Ziyad sebagai antara atlet lontar peluru terbaik rantau ini, selain terus menyumbang kilauan pingat buat kontinjen para Malaysia di APG 2025.

Muzamir Ismail
Muzamir Ismail • Chief Editor / CEO
Minatnya dalam dunia penulisan bermula sejak di universiti, apabila aktif sebagai penulis blog bebas dan portal politik sejak tahun 2001. Selain menghasilkan berita dan rencana pendapat, beliau turut mahir dalam penulisan lirik dan puisi. Di samping itu, beliau merupakan penulis yang kritis dan dinamik, yang turut menyumbang secara aktif kepada perkembangan wacana politik tanah air.
Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.