Usahawan MARA raih jualan RM222 juta di China

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan usahawan di bawah Program Gate to Global berjaya mencatatkan jualan berjumlah RM222 juta sepanjang penyertaan dalam China Food & Drinks Fair 2026 yang berlangsung di Western China International Expo City dari 26 hingga 28 Mac lalu.
Pencapaian itu diraih hasil pertemuan perniagaan yang diadakan bersama pembeli serta pengimport dari pelbagai negara sepanjang tiga hari pameran berkenaan.
Selain jualan memberangsangkan, penyertaan tersebut turut menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan rakan niaga antarabangsa.
@malaysiatribune 9 usahawan MARA mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila meraih jualan RM222 juta sepanjang penyertaan di China Food & Drinks Fair 2026 di Chengdu, China. Lebih membanggakan, 3 MoU berjaya dimeterai, membuka laluan produk tempatan menembusi pasaran global. #malaysiatribune #beritasemasa #mara
♬ original sound - malaysia tribune - malaysia tribune
Perkembangan itu sekali gus membuka peluang lebih luas kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran global, khususnya dalam sektor makanan dan minuman.
Penyertaan dalam pameran antarabangsa berkenaan mencerminkan keupayaan usahawan MARA bersaing di peringkat global selain memperkukuh jenama Malaysia di pasaran dunia.
Inisiatif tersebut juga selari dengan usaha berterusan MARA dalam memperkasa usahawan tempatan agar lebih berdaya saing serta mampu meneroka peluang baharu di peringkat antarabangsa.