Tiada lagi isu nombor habis: Jabatan Pengangkutan Jalan tambah baik sistem giliran

Tiada lagi isu nombor habis: Jabatan Pengangkutan Jalan tambah baik sistem giliran

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini tidak lagi perlu bimbang kehabisan nombor giliran apabila agensi itu melaksanakan pemberian nombor tanpa had sepanjang waktu operasi di semua pejabatnya di seluruh negara sejak 13 Januari lalu.

Langkah itu dilihat sebagai usaha proaktif JPJ menangani rungutan pelanggan yang sebelum ini mendakwa nombor giliran sudah habis walaupun kaunter masih dibuka.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penambahbaikan tersebut dibuat selepas jabatan mengambil kira maklum balas awam serta keperluan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, had nombor giliran yang dilaksanakan sebelum ini bukan bertujuan mengehadkan akses pelanggan, sebaliknya berdasarkan kapasiti sebenar operasi harian termasuk kekuatan sumber manusia dan tempoh masa bagi setiap urusan.

“Penetapan had sebelum ini mengambil kira jenis perkhidmatan yang memerlukan pemeriksaan serta pengesahan fizikal supaya setiap pelanggan yang menerima nombor dapat dilayan dengan sempurna dalam waktu operasi ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui situasi itu boleh menimbulkan persepsi negatif, khususnya apabila pelanggan yang hadir lewat tidak lagi memperoleh nombor giliran walaupun kaunter masih beroperasi.

Sehubungan itu, katanya, JPJ membuat keputusan untuk melaksanakan pemberian nombor tanpa had bagi memastikan setiap individu yang hadir dalam tempoh waktu operasi berpeluang mendapatkan perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, Aedy memaklumkan sistem JPJeQ merekodkan sebanyak 9.3 juta nombor giliran dikeluarkan sepanjang 2025, dengan purata kira-kira 39,000 nombor sehari di seluruh negara.

“Jumlah ini menunjukkan kehadiran pelanggan yang tinggi dan kebergantungan besar terhadap perkhidmatan kaunter fizikal,” ujarnya lagi.

Waktu operasi pejabat JPJ adalah dari jam 7.45 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin dan Jumaat, manakala Selasa hingga Khamis dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Walaupun nombor giliran kini tidak lagi dihadkan, pelanggan masih perlu mendapatkannya melalui sistem JPJeQ bagi memastikan aliran urusan di kaunter dapat diurus secara lebih sistematik dan tersusun.

Muzamir Ismail
Muzamir Ismail • Chief Editor / CEO
Minatnya dalam dunia penulisan bermula sejak di universiti, apabila aktif sebagai penulis blog bebas dan portal politik sejak tahun 2001. Selain menghasilkan berita dan rencana pendapat, beliau turut mahir dalam penulisan lirik dan puisi. Di samping itu, beliau merupakan penulis yang kritis dan dinamik, yang turut menyumbang secara aktif kepada perkembangan wacana politik tanah air.
Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.