Sultan Pahang tegaskan kedaulatan negara dalam isu PR dan kerakyatan

KUANTAN – Isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan tidak wajar dilihat sebagai proses pentadbiran biasa semata-mata, sebaliknya melibatkan amanah besar terhadap kedaulatan dan maruah negara.
Perkara itu ditegaskan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menzahirkan kebimbangan terhadap sebarang kelonggaran atau penyalahgunaan dalam urusan berkaitan kerakyatan.
Menurut baginda, kewarganegaraan membawa makna kesetiaan yang mendalam kepada raja dan tanah air, bukan sekadar pengiktirafan undang-undang atau dokumen rasmi.
“Kewarganegaraan adalah ikrar setia. Ia bukan komoditi untuk diniagakan, bukan imbuhan kuasa, dan bukan jalan pintas untuk diterima sebagai warga negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat di sini, semalam.
Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa ketegasan dalam menjaga proses kerakyatan bukan satu bentuk penindasan, sebaliknya langkah mempertahankan kepercayaan rakyat terhadap negara.
“Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan berintegriti, kepercayaan rakyat akan terhakis dan maruah negara akan tercalar di mata dunia,” titah baginda lagi.
Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan paduka anakanda baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.
Dalam titah yang sama, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas nama pelaburan, tekanan politik atau keuntungan jangka pendek.
“Maruah bangsa tidak boleh dijual beli, dan kedaulatan negara bukan barang gadaian,” titah baginda.
Menyentuh peranan generasi muda, baginda menyeru golongan belia agar berani menyuarakan pandangan secara berfakta, berilmu dan berakhlak.
“Perubahan perlu digerakkan dengan kebijaksanaan, bukan kemarahan. Kesetiaan kepada raja dan negara adalah asas kestabilan. Tanpanya, kebebasan boleh bertukar menjadi kebiadaban,” titah baginda lagi.
Wacana tersebut menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pelbagai pihak berkepentingan dalam pembangunan belia dan kenegaraan.
Program itu dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh kefahaman kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan peranan institusi raja berperlembagaan sebagai tonggak kestabilan dan kedaulatan negara.