← Back to Rencana

PM Anwar Rasmi UTC Seberang Perai di Penang Sentral | 8 Nov 2025

PM Anwar Rasmi UTC Seberang Perai di Penang Sentral | 8 Nov 2025

YAB Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah merasmikan Majlis Peluncuran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai yang berlangsung di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, Butterworth, pada 8 November 2025.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YAB Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang; YB Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Senator Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YBhg. Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan; serta YBhg. Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan.

UTC Seberang Perai merupakan UTC ke-24 di Malaysia dan yang kedua di Pulau Pinang. Beroperasi sepenuhnya di Penang Sentral, pusat ini memudahkan akses perkhidmatan kerajaan bersepadu kepada lebih sejuta penduduk di sekitar Seberang Jaya dan kawasan sekitarnya.

Antara kemudahan utama ialah Kiosk Sentuhan MADANI (KSM), iaitu kiosk keempat di Malaysia dan yang pertama diwujudkan di luar Lembah Klang. UTC ini juga menempatkan Hab Informasi Bantuan Tunai (Individu) yang mengurus pelbagai inisiatif bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Budi MADANI RON95 (BUDI95) serta bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut diperkenalkan ialah Hab Kerjaya Sektor Awam–Swasta hasil kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan MyFutureJobs, bagi menyediakan maklumat peluang pekerjaan dan khidmat nasihat kerjaya secara langsung kepada pencari kerja tempatan.

UTC Seberang Perai dilengkapi Sistem Penggiliran Pintar (Queue Management System – QMS) bersepadu, ruang kerja terbuka serta peralatan moden bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Penubuhan UTC ini mencerminkan komitmen Kementerian Kewangan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, moden dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kualiti perkhidmatan kerajaan.

Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.