Pelancaran UTC Perak

Majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak telah berlangsung pada Jumaat, 15 Februari 2013 di Ipoh, Perak dan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Majlis perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu UTC dan lagu 1Malaysia yang disampaikan oleh seramai 200 orang daripada Kumpulan Koir Selendang Perak. YAB Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan sebelum merasmikan UTC Perak secara simbolik melalui penyerahan replika kunci oleh Datuk Bandar Ipoh.
Penyerahan replika kunci tersebut melambangkan pengoperasian 57 agensi kerajaan yang berkhidmat di UTC Perak, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Majlis turut disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada akhir majlis, YAB Perdana Menteri meluangkan masa melawat agensi-agensi yang beroperasi di UTC Perak serta mengadakan sidang akhbar. Penubuhan UTC Perak bertujuan memudahkan urusan rakyat dengan agensi kerajaan melalui penyediaan perkhidmatan secara pusat sehenti, termasuk di luar waktu pejabat serta pada hujung minggu.
UTC Perak merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dan inisiatif transformasi kerajaan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.