Mufti Menk tampil di Sabah 30 April ini

KOTA KINABALU – Penceramah antarabangsa terkenal, Ismail Menk dijadualkan mengadakan program “Mufti Menk Live in Sabah” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 30 April ini.
Program bertemakan “Broken but Beloved” itu dijangka menghimpunkan ribuan peserta dari seluruh Sabah dan luar negeri, sekali gus menjadi antara acara inspirasi terbesar di negeri ini tahun ini.
Menurut penganjur, Faith Events dan Al Falah Team Solutions, Mufti Menk yang mempunyai jutaan pengikut di seluruh dunia dikenali dengan pendekatan penyampaian yang mudah difahami, menyentuh emosi serta relevan dengan kehidupan semasa.

Katanya, antara pengisian utama termasuk kupasan berkaitan cabaran kehidupan, ketahanan emosi, hubungan kekeluargaan serta pencarian makna hidup yang dekat dengan golongan belia, profesional dan masyarakat umum.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman bersama isteri, Faridah Tussin serta barisan pemimpin negeri, tokoh korporat dan masyarakat setempat.
Program itu bertujuan menjadi platform pembangunan diri secara inklusif dengan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana perkongsian ilmu dan refleksi positif.
Acara yang bermula pada pukul 7 malam itu dianjurkan oleh Glocal Link (M) Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Faith Events dan Al Falah Team Solutions, selain sokongan beberapa rakan strategik termasuk MARA Corporation dan Weststar Aviation.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket dalam empat kategori iaitu RM250 (emas), RM150 (perak), RM75 (pelajar institusi pengajian tinggi) dan RM50 bagi pelajar sekolah menengah.
Maklumat lanjut serta pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman sesawang https://faithevents.asia/muftimenksabah/ticket-purchase atau menghubungi talian 013-8034593 dan 019-4404559.