MARA jadikan dua beradik yatim piatu anak angkat

MARA jadikan dua beradik yatim piatu anak angkat

RAUB – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memantau secara rapi kebajikan dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, di sini, kelmarin, dengan menjadikan mereka sebagai anak angkat agensi berkenaan.

Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berkesempatan menziarahi kedua-dua mangsa, Ruby Adalia Balqis, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, di Ulu Dong pagi tadi bagi melihat sendiri keadaan mereka.

Menurut beliau, keadaan kedua-dua pelajar itu kini lebih stabil dan menunjukkan ketabahan luar biasa walaupun masih dalam suasana kesedihan.

“Alhamdulillah, melihat keadaan mereka hari ini, saya bersyukur kerana kedua-duanya kelihatan lebih stabil dan kuat berbanding hari-hari awal tragedi.

“Saya sempat bertanyakan tentang pelajaran, cita-cita dan minat mereka. Dalam kesedihan yang masih bersisa, rupanya masih ada sinar harapan yang menyala dalam hati anak-anak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, lima sekeluarga ditemukan rentung iaitu Mohd Alawi Mohammad, 56; isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44; serta tiga anak mereka, Ruby Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14; dan Ruby Azian Barizah, 9.

Dua beradik tersebut terselamat kerana berada di asrama masing-masing iaitu di Kolej Matrikulasi Gambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong ketika kejadian.

Asyraf Wajdi berkata, Ruby yang kini mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang menyatakan hasrat untuk menjadi guru dan bercita-cita melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, usaha sedang digerakkan bagi membantu merealisasikan impian tersebut termasuk menyusun laluan pendidikan terbaik.

“Insya-Allah, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan saya bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir untuk membantu menyusun laluan terbaik agar impian adik Ruby menjadi kenyataan,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Ahmad Balia Murqam yang meminati bidang keusahawanan, MARA menawarkan peluang menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong dalam bidang teknikal.

Menurut beliau, sebagai anak angkat MARA, kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah kedua-dua pelajar itu akan dipantau secara berterusan supaya masa depan mereka tidak terjejas akibat tragedi tersebut.

Beliau turut meninjau lokasi kebakaran dan menyifatkan pengalaman melihat sendiri kawasan kejadian sebagai amat meruntun jiwa.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua beradik itu tidak keseorangan kerana MARA serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan akan terus mendoakan kesejahteraan serta kejayaan mereka.

Muzamir Ismail
Muzamir Ismail • Chief Editor / CEO
Minatnya dalam dunia penulisan bermula sejak di universiti, apabila aktif sebagai penulis blog bebas dan portal politik sejak tahun 2001. Selain menghasilkan berita dan rencana pendapat, beliau turut mahir dalam penulisan lirik dan puisi. Di samping itu, beliau merupakan penulis yang kritis dan dinamik, yang turut menyumbang secara aktif kepada perkembangan wacana politik tanah air.
Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.