Kerajaan Kaji Sistem Cukai Hibrid GST-SST Bagi Struktur Percukaian Lebih Progresif

PM Anwar Ibrahim Talks about GST SST Tax

PUTRAJAYA – Kerajaan kini meneliti kemungkinan menggabungkan beberapa ciri Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke dalam struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, susulan arahan Jemaah Menteri agar Kementerian Kewangan menjalankan kajian menyeluruh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid tersebut.

Cadangan Digagas Ketika Sesi Libat Urus Belanjawan 2027

Cadangan ini mula-mula disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ucapan penutup sesi Libat Urus Belanjawan 2027 pada 18 Ogos lalu. Beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang meneliti penambahbaikan kepada SST sedia ada, termasuk sama ada ia boleh menyerap unsur GST, selaras dengan hasrat kerajaan membentuk sistem percukaian yang lebih progresif dan cekap.

Anwar turut menegaskan kerajaan tidak berhasrat mengembalikan GST secara menyeluruh kerana sifatnya yang meluas turut membebankan golongan termiskin, sebaliknya kerajaan meneliti sama ada kekuatan kedua-dua sistem percukaian boleh digabungkan menjadi satu model baharu.

kerajaan-kaji-gabungan-cukai-gst-sst-2.png

Jemaah Menteri Arah Kementerian Kewangan Jalankan Kajian Menyeluruh

Sehari selepas kenyataan tersebut, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengesahkan Kementerian Kewangan ditugaskan menjalankan kajian menyeluruh mengenai cadangan mengintegrasikan GST dengan SST sebelum perkara itu dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, diberi tempoh masa untuk menyediakan laporan tersebut.

"Perkara ini masih di peringkat awal. Kementerian Kewangan diberikan masa memandangkan ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara terburu-buru." — Datuk Seri Fahmi Fadzil, Jurucakap Kerajaan MADANI

Fahmi turut menjelaskan kajian tersebut akan meneliti pengajaran daripada pelaksanaan GST sebelum ini serta isu-isu yang timbul daripada sistem SST semasa. Ditanya sama ada sebarang tempoh masa ditetapkan, beliau berkata tiada, dan masih belum jelas sama ada cadangan ini akan dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 akan datang.

SST Kekal Sebagai Asas – Bukan Pengembalian GST Sepenuhnya

Menjawab kebimbangan orang ramai, Anwar turut menegaskan SST akan kekal sebagai asas sistem percukaian negara ketika ini, dan kerajaan tidak menolak beberapa ciri GST sekiranya ia sesuai untuk mewujudkan sistem percukaian yang lebih baik dan progresif.

"Mengenai GST, SST kita terbuka untuk kaji, untuk perbaiki sistem percukaian." — Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri

Reaksi: Ahli Parlimen Desak penjelasan, Peniaga Mahu Kredit Cukai Input

Cadangan ini turut mencetuskan pelbagai reaksi. Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berpendapat perubahan dasar sebesar itu tidak seharusnya dilakukan secara cuba-cuba memandangkan potensi kesannya terhadap pengguna dan komuniti perniagaan, sambil menggesa kerajaan mendedahkan mekanisme, kadar cukai serta skop barangan dan perkhidmatan yang bakal terlibat sebelum sebarang keputusan muktamad diumumkan.

Di sebalik desakan kejelasan itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pula dilaporkan menyokong penerapan ciri-ciri terpilih GST ke dalam rangka SST sedia ada. Komuniti perniagaan turut menyuarakan harapan agar mekanisme kredit cukai input diperkenalkan bagi membolehkan perniagaan menuntut semula cukai yang dibayar atas keperluan operasi, sesuatu yang tidak dibenarkan di bawah SST semasa dan menyebabkan cukai tersebut kekal sebagai kos operasi mereka.

Sejarah Ringkas: Dari GST Ke SST

GST pernah dilaksanakan di Malaysia pada kadar 6% mulai 1 April 2015, sebelum dikadar sifarkan pada Jun 2018 dan digantikan sepenuhnya dengan SST pada September tahun yang sama. Terdapat perbezaan struktur kedua-dua sistem cukai ini dan pernah berlaku isu bayaran balik cukai yang tertunggak sehingga berbillion ringgit.

Buat masa ini, kajian sistem cukai hibrid GST-SST masih di peringkat awal tanpa tempoh masa muktamad ditetapkan. Menteri Kewangan II diberi ruang untuk menyediakan laporan lengkap sebelum ia dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk perbincangan dan keputusan lanjut.

Kerajaan MADANI menegaskan sebarang perubahan dasar percukaian tidak akan dikenakan secara menyeluruh ke atas rakyat, dan struktur SST bersasar yang mengecualikan barangan keperluan asas akan terus menjadi teras pendekatan kerajaan.

Hazzim Nasir
Hazzim Nasir • Writer
As a Digital Writer, Hazzim blends creativity with strategy to deliver high-impact online content. From insightful features to fast-paced digital news, he is dedicated to maintain as a leading source of information and inspiration in the digital publishing space
Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.