Fasiliti berkeupayaan proses 24,000 tan bateri setahun pacu industri tenaga hijau

Foto: Dari kiri, Lee Hui-Ni (Ketua Pegawai Pelaburan KMP), Yarham Yunus (Ketua Pegawai Eksekutif KMP), Jayden Goh (Ketua Pegawai Eksekutif Econili) dan Lim Shi Yuan (Penolong Pengurus, Pelaburan KMP).

KUALA LUMPUR – Sebuah fasiliti berteknologi hidrometalurgi yang berkeupayaan memproses sehingga 24,000 tan bateri terpakai setahun, termasuk bateri kenderaan elektrik (EV), menjadi teras kepada pelaburan strategik oleh Kumpulan Modal Perdana (KMP), syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), dalam usaha memperkukuh industri tenaga boleh baharu negara.

Keupayaan pemprosesan berskala besar itu dilihat mampu meningkatkan kapasiti domestik, mengurangkan kebergantungan kepada pemprosesan luar negara serta meminimumkan pembaziran sumber kritikal yang bernilai tinggi.

Menurut KMP, pelaburan berkenaan selari dengan agenda peralihan tenaga negara bagi menyokong pertumbuhan industri hijau dan tenaga boleh baharu secara mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif KMP, Yarham Yunus, berkata pelaburan tersebut bukan sekadar suntikan modal, sebaliknya komitmen jangka panjang untuk memastikan sumber bernilai dapat dipulihkan dan dimanfaatkan semula.

Dalam usaha menuju ekonomi berteknologi tinggi serta sasaran pelepasan karbon sifar bersih, sumber ini perlu dikitar dan digunakan semula bagi menyokong pembangunan industri hijau yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keupayaan pemprosesan pada skala besar itu turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang kejuruteraan kimia dan teknologi hijau.

Inisiatif ini membolehkan pengurusan sisa bateri secara sistematik, mengurangkan pencemaran alam sekitar serta memperkukuh ekonomi kitaran negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Econili, Jayden Goh, berkata fasiliti berkenaan memberi tumpuan kepada pemulihan logam daripada bateri litium-ion terpakai, sisa logam campuran, bahan dikenali sebagai black mass serta pemprosesan semula bahan bateri.

Bahan yang dipulihkan akan disalurkan semula ke sektor penyimpanan tenaga, termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), bagi menyokong kestabilan grid tenaga boleh baharu negara,” katanya.

Pelaburan tersebut selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang bertujuan memperkukuh ekonomi hijau, menyahkarbonkan sektor pembuatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan industri tenaga boleh baharu berimpak tinggi.

Muzamir Ismail
Muzamir Ismail • Chief Editor / CEO
Minatnya dalam dunia penulisan bermula sejak di universiti, apabila aktif sebagai penulis blog bebas dan portal politik sejak tahun 2001. Selain menghasilkan berita dan rencana pendapat, beliau turut mahir dalam penulisan lirik dan puisi. Di samping itu, beliau merupakan penulis yang kritis dan dinamik, yang turut menyumbang secara aktif kepada perkembangan wacana politik tanah air.
Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.