BHPetrol, MARA Inc perluas penggunaan solar di 50 stesen menjelang akhir tahun

BHPetrol, MARA Inc perluas penggunaan solar di 50 stesen menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR – Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dengan kerjasama MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen minyak BHPetrol sekitar Lembah Klang yang dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc, Faizul Idzhar Ahmad Yazi berkata, pihaknya komited memastikan kesemua stesen yang terlibat dapat beroperasi mengikut jadual selepas melalui proses ujian, pentauliahan serta kelulusan lesen yang diperlukan.

Menurutnya, pemasangan sistem solar itu bukan sahaja melibatkan kerjasama dengan BHPetrol, malah turut diperluaskan ke institusi pendidikan di bawah MARA.

“Kita akan lengkapkan 50 stesen minyak ini sehingga boleh beroperasi sepenuhnya. Selepas pemasangan, beberapa proses seperti ujian, pentauliahan dan kelulusan lesen perlu diselesaikan sebelum sistem dapat menjana elektrik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Tenaga Boleh Baharu Bersama BHPetrol dan MARA Inc di sini.

Beliau berkata, MARA Inc juga sedang mengembangkan penglibatan dalam sektor tenaga boleh baharu termasuk projek solar berskala besar (LSS) melebihi 100 megawatt (MW) di Pantai Timur.

Menurutnya, industri solar mempunyai potensi besar dan dijangka menjadi pilihan utama pengguna pada masa hadapan kerana mampu menawarkan penjimatan kos elektrik untuk tempoh jangka panjang.

“Secara logiknya, penggunaan solar mampu mengurangkan kos elektrik dan manfaat itu boleh dinikmati antara 10 hingga 20 tahun dengan kadar penjimatan yang stabil,” katanya lagi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata, syarikat itu mempunyai 420 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, namun tidak semua lokasi sesuai untuk pemasangan sistem solar.

Jelas beliau, faktor seperti keluasan kawasan dan tahap penerimaan cahaya matahari memainkan peranan penting dalam menentukan kesesuaian sesuatu stesen.

“Ada stesen yang berada di kawasan terlindung terutama di bandar atau berhampiran bangunan tinggi dan kondominium. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk pemasangan sistem solar,” katanya lagi.

Beliau berkata, setakat Julai 2026 sebanyak 16 stesen BHPetrol telah siap dipasang dan beroperasi menggunakan sistem solar PV, manakala baki 34 stesen akan disiapkan secara berperingkat.

Menurutnya, sistem solar PV berkapasiti 1.4 megawatt puncak (MWp) itu dijangka mampu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,347 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun apabila projek berkenaan siap sepenuhnya.

"Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mempercepatkan penggunaan teknologi hijau dan pembangunan ekonomi rendah karbon.

“BHPetrol sentiasa berusaha mengurangkan kos operasi bukan sahaja di peringkat syarikat tetapi juga untuk pengusaha stesen. Sasaran kami adalah mengurangkan bil tenaga sekurang-kurangnya 10 peratus,” katanya lagi.

Muzamir Ismail
Muzamir Ismail • Chief Editor / CEO
Muzamir Ismail ialah seorang wartawan dan pengamal media Malaysia dengan pengalaman luas dalam bidang kewartawanan, penerbitan berita dan pembangunan kandungan digital. Beliau mempunyai latar belakang pelaporan yang merangkumi politik, tadbir urus, ekonomi, keselamatan, sukan, pelancongan dan isu-isu masyarakat. Memulakan penglibatan dalam dunia media melalui penulisan bebas dan platform politik dalam talian, Muzamir kemudiannya mengembangkan kerjayanya dalam kewartawanan profesional sejak 2019. Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau telah terlibat dalam pelbagai liputan lapangan, termasuk perkembangan politik dan isu serantau di lebih 10 negara. Sebagai Ketua Editor UTC.my, Muzamir membawa pendekatan editorial yang menekankan ketepatan fakta, integriti kewartawanan dan penyampaian maklumat yang berimbang serta relevan kepada masyarakat. Beliau menggabungkan pengalaman pelaporan lapangan, analisis berasaskan data dan pemahaman terhadap konteks sosial dalam membentuk kandungan berita yang bermaklumat dan bernilai kepada pembaca. Selain kewartawanan arus perdana, beliau turut aktif dalam penerbitan kandungan digital dan pembangunan format media baharu, termasuk podcast Macam Tulah, yang mengetengahkan kisah, pengalaman dan perspektif individu daripada pelbagai latar belakang. Dengan pengalaman dalam pelaporan, penyuntingan dan penerbitan kandungan, Muzamir komited untuk memperkukuh peranan UTC.my sebagai platform media yang menyampaikan berita dan maklumat secara profesional, bertanggungjawab serta dekat dengan kepentingan masyarakat.
Sila rujuk Siaran & Hebahan bagi siaran media atau hebahan rasmi.